Sheikh Muhammad Arsyad Al-Banjari
(17/3/1710 – 13/10/1812)
Syeikh Muhammad Arsyad al‑Banjari
dilahirkan pada 15 Safar 1122 Hijrah bersarnaan 17 Mac 1710 Masihi di Kampung
Lok Gabang, Martapura, Banjarmasin. Bapanya Abdullah merupakan seorang pemuda
yang dikasihi sultan (Sultan Hamidullah atau Tahmidullah bin Sultan Tahlilullah
1700‑1734M). Bapanya bukan asal orang Banjar, tetapi datang dari India,
mengembara untuk menyebarkan dakwah. Beliau seorang ahli seni ukiran kayu.
Semasa ibunya hamil, kedua ibu bapanya sering berdoa agar dapat melahirkan
anak yang alim dan zuhud. Setelah lahir, ibu bapanya mendidik dengan penuh
kasih sayang setelah mendapat anak sulung yang dinanti‑nantikan ini. Beliau
dididik dengan dendangan Asmaul‑husna, di samping berdoa kepada Allah. Setelah
itu diberi pendidikan Al‑Quran kepadanya. Kemudian barulah menyusul kelahiran
adik-adiknya iaitu 'Abidin, Zainal Abidin, Nurmein, dan Nurul Amien.
Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari Semasa Kecil
Sejak kecil, Syeikh Muhammad Arsyad al‑Banjari
kelihatan cergas dan cerdas serta mempunyai akhlak yang baik dan terpuji.
Kehebatan beliau sejak kecil ialah dalam bidang seni lukis dan seni tulis,
sehingga sesiapa sahaja yang melihat karyanya akan berasa kagum dan terpukau.
Pada suatu hari, sultan mengadakan kunjungan ke kampung‑kampung. Apabila
baginda sultan sampai ke kampung Lok Gabang, baginda berkesempatan melihat
hasil karya lukisan Muhammad Arsyad yang indah lagi memukau hati itu. Justeru,
sultan berhajat untuk memelihara dan mendidik Muhammad Arsyad yang tatkala itu
baru berusia 7 tahun.
Syeikh Muhammad Arsyad al‑Banjari mendapat pendidikan penuh di istana
sehingga usianya mencapai 30 tahun. Kemudian, beliau dikahwinkan dengan seorang
perempuan yang solehah bernama Tuan Bajut. Hasil perkahwinan, beliau memperoleh
seorang puteri yang diberi nama Syarifah.
Syeikh Muhammad Arsyad telah meneruskan pengembaraan ilmunya di Makkah dan
Madinah. Segala perbelanjaannya ditanggung oleh Sultan Tamjidillah (1745‑1778M)
dan pengganti baginda Sultan Tahmidillah (1778‑1808M). Selama belajar di
Makkah, Syeikh Muhammad Arsyad tinggal di sebuah rumah yang dibeli oleh Sultan
Banjar yang terletak di kampung Samiyyah iaitu dikenali sebagai Barhat Banjar.
Syeikh Muhammad Arsyad AI‑Banjari Semasa Di Makkah Dan Madinah
Semasa di Makkah, Syeikh Muhammad Arsyad belajar dengan tekun di Masjidil
Haram dalam pelbagai bidang ilmu. Beliau berguru dengan ulama'‑ulama' terkenal
pada masa itu seperti Syeikh Ataillah Bin Ahmad al‑Misriy, Syeikh Muhammad Bin
Sulaiman al‑Kurdiy, Syeikh Muhammad Bin Abd Karim al‑Qadiri, Syeikh Ahmad Bin
Abd Mun'im al‑Damanhuri, Syeikh Hasan Bin Ahmad 'Akisy al‑Yamani, Sheikh Salim
Bin Abdullah alBasri, dan banyak lagi.
Sahabat‑sahabat Syeikh Muhammad Arsyad merupakan golongan pencinta kepada
ilmu pengetahuan sehingga setiap perternuan yang merupakan majlis ilmu, mereka
saling bermuzakarah bersama‑sama. Antara sahabat beliau ialah: Syeikh Abdul
Samad al‑Falimbani, Syeikh Abdul Rahman Mesri, Syeikh Daud bin Abdullah al‑Fatani,
Syeikh Abdul Wahab Sadengreng (Bugis), dan Syeikh Muhammad Salih bin Umar al‑Samarani
atau 'Semarang'.
Untuk menambah ilmu, Syeikh Muhammad Arsyad bersama sahabatnya ingin
merantau pula ke Mesir. Namun, setelah bersiap untuk berangkat, mereka mendapat
khabar bahawa ulama' besar Mesir iaitu Syeikh Muhammad Bin Sulaiman al-Kurdie
datang ke Madinah. Lantas beliau bersama sahabat pergi ke Madinah untuk berguru
dengan syeikh tersebut.
Pulang Ke Tanah Air
Setelah berada selama 30 tahun di Makkah dan lima tahun di Madinah, Syeikh
Muhammad Arsyad al‑Banjari pulang ke tanah air untuk menyebarkan Islam.
Setibanya beliau ke kampung halaman, beliau membuka pusat‑pusat pengajian untuk
memudahkan masyarakat Islam menimba ilmu pengetahuan. Selain itu, Syeikh
Muhammad Arsyad
turut membiasakan diri bersama orang kampong berkebun, bersawah, dan
bertani.
Di samping aktif mengajar dan mendidik masyarakat Islam yang datang dari
pelbagai pelosok daerah, beliau turut turun berdakwah ke segenap lapisan
masyarakat yang terdiri daripada rakyat biasa hinggalah kepada golongan
pembesar dan bangsawan.
Dalam menyampaikan dakwah, Syeikh Muhammad Arsyad menggunakan pelbagai
kaedah pendekatan iaitu Dakwah bil Hal (dakwah yang menggunakan
pendekatan contoh dan akhlak yang dipamerkan oleh beliau), Dakwah bil Lisan (dakwah
dengan menggunakan pendekatan lidah iaitu mengajak dan menyeru) dan Dakwah
bil Kitabah (dakwah dengan menggunakan pendekatan penulisan buku dan
risalah).
Karya‑karya Syeikh Muhammad Arsyad AI‑Banjari
1. Kitab Usuluddin ‑ Ditulis pada 1188H (1774 M), ditulis dalam bahasa
Melayu, yang memuatkan masalah tauhid dan keimanan. Risalah ini belum pernah
dicetak.
- Luqthatul 'AjIan fi Bayan Haid wa istihadhati wa nifas al‑Niswan ‑ Iaitu kitab yang mengupas mengenai masalah haid, istihadhah, dan nifas. Isi kitab ini terdiri daripada muqaddimah, 15 fasal, dan penutup. Dicetak pada tahun 1992 di Indonesia. Dalam kitab ini dinyatakan bahawa wajib hukumnya bagi perempuan belajar masalah haid, istihadhah, dan nifas. Jika suami orang berilmu, dia wajib mengajar isterinya; jika sebaliknya, dia wajib memberi keizinan kepada isterinya untuk belajar mengenainya.
- Kitab Tuhfat al‑Raghibin ‑ Ditulis pada 1188H (1774M). Pernah diterbitkan di Mesir pada 1353H. Kitab ini membincangkan masalah tauhid iaitu penjelasan tentang hakikat iman, perkara-perkara yang boleh merosakkan iman, tanda seseorang menjadi murtad, dan sebagainya. Kitab ini terdiri daripada muqaddimah, tiga fasal, dan penutup.
- Kitab al‑Qawl al‑Mukhtasar fi 'Alamat alMahdi al‑Muntazar ‑ Kitab ini mula dikarang pada tahun 1196H. Mengandungi perbahasan tentang tanda‑tanda kiamat seperti Imam Mahdi, Dajjal, turunnya Nabi Isa, terbit matahari sebelah barat. Ditulis dalarn tulisan jawi dan pernah dicetak di Singapura tahun 1356H (1937M).
- Kitab Ilmu Falak ‑ Kitab ini ditulis dalam bahasa Arab. Penulisannya mernuatkan kaedah bila terjadinya gerhana matahari dan bulan. Walau bagaimanapun kitab ini belum sempat dicetak.
- Kitab al‑Nikah ‑ Kitab ini menerangkan tentang pengertian wali dan kaedah melaksanakan akad nikah berdasarkan apa yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w. Kitab ini pernah diterbitkan di Istanbul pada 1304H.
- Kitab Kanzul Ma'rifah ‑ Kitab ini berkaitan dengan ilmu tasawuf serta penjelasan mengenai hakikat mengenal diri untuk mencapai makrifat kepada Allah. Isi kandungannya ditulis dalam bahasa Melayu dan belum dicetak.
- Kitab Sabil al‑Muhtadin ‑ Inilah kitab beliau yang paling masyhur. Kemasyhuran kitab ini akhirnya menjadi khazanah di beberapa perpustakaan besar iaitu di Makkah, Mesir, Turki, dan Beirut. Kitab ini amat popular di Nusantara yang merangkumi Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Kemboja, dan Brunei.
Karya Syeikh Muhammad Arsyad al‑Banjari yang paling terkenal ini merupakan
kitab fiqh Melayu yang tersebar luas di seluruh alam Melayu. Terdapat di dalam
dua jilid, jilid pertama mempunyai 252 halaman dan jilid kedua 272 halaman.
Perbincangan dalam kitab ini meliputi persoalan ibadah yang menyentuh thaharah,
solat, puasa, zakat, haji, akikah, korban, makanan yang halal dan haram serta sembelihan.
Kitab ini ditulis atas permintaan Sultan Tahmidillah Bin Sultan
Tamjidillah. Penulisannya mengambil masa selama dua tahun iaitu dimulai pada
1193H/1779M dan selesai pada 27 Rabiul Akhir 1195H. Kitab ini pertama kali
dicetak di Istanbul pada tahun 1300H/1882M kemudian diulang cetak di Kaherah
dan Makkah.
Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari Meninggal Dunia
Beliau meninggal dunia pada malam Selasa iaitu di antara waktu Maghrib dan
Isyak, pada 6 Syawal 1227 Hijrah bersamaan 13 Oktober 1812 Masihi. Beliau
meninggal dunia pada usia 105 tahun dengan meninggalkan sumbangan yang besar
terhadap masyarakat Islam di Nusantara.
Bagi mengenang jasa dan sumbangan beliau, beberapa tempat di Indonesia
telah mengabadikan nama dan karya beliau. Antaranya ialah Universitas Islam
Kalimantan Muhammad Arsyad al‑Banjari dan Masjid Raya Sabilal Muhtadin.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar